SUNK INTO THE WOMB
Filem ini menjadi buah mulut ramai serta viral di laman sosial. Mana tidaknya, cerita ini adalah diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku di Jepun. Apa yang Umy boleh katakan ialah inilah hasilnya atau akibat daripada pengabaian hak asasi manusia. Baik sebagai seorang wanita atau seorang isteri.
Seperti mana yang kita ketahui, filem ini mengisahkan berkenaan dua beradik yang berumur dalam lingkungan 3 tahun dan 1 1/2 tahun. Ibu mereka bekerja di kelab setelah suaminya curang dan hilang tanpa khabar berita, ibarat digantung tidak bertali. Hasil pengabaian dari suami, si ibu mungkin mula merasa anaknya sebagai beban dan apabila mendapat teman lelaki baru semestinya tanggungjawab terhadap anaknya tidak diendahkan. Hal ini berlarutan sehingga dia sanggup membiarkan anaknya mati kelaparan dan melemaskan anaknya sendiri.
Hal ini adalah realiti yang menakutkan di mana bermula dengan hanya pengabaian si suami, kini membawa kepada kehilangan 2 nyawa yang tidak berdosa. Jika difikirkan kembali, jelas sekali dua beradik ini tidak layak diperlakukan sedemikian. Mereka berhak untuk hidup, dan jika betul ibunya tidak mahu menyara mereka, bawalah ke tempat yang sepatutnya seperti tempat perlindungan kanak-kanak dan sebagainya daripada dibiarkan sebegitu.
Si ibu mungkin sudah hilang pertimbangan dan mungkin merasakan bahawa sudah tiada tempat baginya untuk mendapatkan bantuan atau bercerita akan masalahnya. Oleh yang demikian, hak asasi sebagai seorang isteri seharusnya diambil berat sebagai contoh, mana-mana isteri yang telah diceraikan atau ditinggalkan begitu sahaja oleh suami berhak mendapatkan bantuan kewangan serta khidmat kaunseling secara percuma. Hal ini akan dapat membantu mereka bagi menyara hidup dan menstabilkan emosi supaya tidak bertindak di luar kawalan.
Selain itu, apa yang dihairankan ialah mengapa tiada jiran yang datang untuk membantu? Katanya pihak polis tidak dapat masuk kerana tiada waran. Namun di saat2 genting seperti itu tidakkah wajar untuk mereka memecah masuk bagi menyelamatkan kanak2 tersebut? Hal ini pastinya menjadi parah apabila manusia sudah hilang nilai kemanusiaannya dan hanya memikirkan halnya sendiri.
Tuntasnya, apa yang Umy dapat simpulkan ialah, hak asasi manusia itu adalah amat penting dan perlu dijaga kerana dengan hanya satu isu yang terlepas pandang, maka akan membawa kepada musibah yang lebih besar seperti yang berlaku di dalam filem ini. Maka perlu bagi kita untuk mengambil ikhtibar, Sekian ♡
No comments:
Post a Comment