Wednesday 17 July 2013

Hutang kita kepada Allah

Apabila disebut mengenai hutang, sudah pasti ia akan mengingatkan kita kepada hutang kita kepada sesama manusia. Sudah pasti kita akan berasa resah dan gelisah apabila tidak mampu membayar hutang kita kepada seseorang itu dan lantas kita akan berusaha sedaya upaya bagi melangsaikan hutang yang dipinjam. Namun pernahkah kita terfikir bahawa kita pernah berhutang kepada Allah S.W.T? Apakah hutang kita kepada Allah? Wang, atau harta bendakah? Sudah tentu tidak sama sekali. Hutang kita kepada Allah adalah solat wajib 5 waktu yang telah kita tinggalkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Bagi hamba yang mukallaf yang telah mencukupi syarat-syarat iaitu Islam, berakal dan baligh. Telah wajib baginya untuk menunaikan atau melaksanakan perintah Allah S.W.T. Ini merupakan tanggungjawab dan juga merupakan fardhu ain (tuntutan kewajipan bagi setiap mukallaf) baginya. Mungkin ada diantara kita semasa di awal balighnya masih belum sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Lantas ada diantara solat-solatnya tidak dijaga dengan tertib. Oleh itu, setelah meningkat dewasa ini kita akan mulai sedar akan tanggungjawab kita kepada segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Apabila kita telah sedar akan hal ini, marilah sama-sama kita membayar kembali hutang-hutang kita kepada Allah S.W.T ini dengan menqada’kan segala solat yang telah kita tinggalkan. Mungkin mustahil bagi kita untuk mengira jumlah sebenar solat yang telah kita tinggalkan. Oleh itu cukuplah sekadar kita menganggarkannya sahaja. Sebagai contoh, jika mencapai baligh ketika berumur 12 tahun dan pada ketika itu masih banyak solat yang kita tinggalkan sehinggalah umur kita mencecah 16 tahun barulah kita bertaubat serta sedar akan betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga solat 5 waktu.

Jika dikira kembali, kita perlu beristiqamah menqada’kan solat selama 4 tahun lamanya. Mungkin kita akan berasa tempohnya terlalu lama, namun bersyukurlah kerana Allah masih memberi kita peluang untuk bertaubat dan melangsaikan hutang kita. Anda boleh menqada’kan solat setiap kali selepas solat fardhu atau boleh menqada’kan solat pada bila-bila masa sahaja kerana erti qada’ adalah menunaikan sesuatu ibadah bukan di dalam waktunya. Pastikan anda mempunyai buku catatan atau jadual bagi memastikan anda istiqamah melangsaikan hutang ini.
Sebagai contoh :
Check list Qada’ solat *4 tahun
Tarikh
Subuh
zuhur
asar
maghrib
isyak
2/8/2013
x
/
3/8/2013
/
x
/
/
/

Jika terdapat qada’ yang kita tidak dapat tunaikan, pastikan kita menandakan x supaya ianya dapat diqada’kan kemudian. Semoga sama-sama kita akan dapat melangsaikan hutang kita ini kepada Allah S.W.T. Namun harus diingat selain solat, puasa, zakat dan sebagainya juga perlu dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab.
Saya sering teringat akan kata-kata ini :
Kita masuk syurga bukanlah kerana banyaknya amal ibadah yang kita lakukan, tetapi semuanya adalah kerana diatas Keredhaan Allah S.W.T
Oleh itu, ikhlaskanlah hati dalam beribadah semata-mata kerana Allah S.W.T dan bukannya kerana manusia, semoga Allah memelihara hati kita daripada penyakit-penyakit hati iaitu riak, ujub, takbur dan sebagainya dan ingatlah :
Sesungguhnya tiada penghalang bagi kita untuk kembali kepada Allah.

# Mudah-mudahan segala apa yang kita lakukan akan mendapat Redha Allah. Diharap sebarang kesalahan atau percanggahan akan dapat ditegur dengan penuh hikmah, Syukran J

Sunday 7 July 2013

Romantiknya Rasulullah s.a.w

Setiap insan pasti mendambakan pasangan yang beriman serta bertakwa yang akan membawanya ke Jannah. Namun, tidak lupa juga bahawa setiap insan terutamanya wanita pasti juga menginginkan pasangan yang romantik dan pandai bergurau senda, kerana ianya akan memutikkan kemesraan dan menyegarkan lagi rasa cinta di hati pasangan suami dan isteri. Cinta yang halal di sisi Allah ini, perlu dipayungi dengan kasih sayang yang ikhlas semata-mata kerana Allah bagi mewujudkan keluarga bahagia yang berada dibawah limpahan rahmat kasih sayangNya, ‘mawaddah wa rahmah’.

Sepertimana yang kita ketahui, Rasulullah s.a.w merupakan seorang suami yang adil serta amat kasihkan isteri-isteri baginda. Mari kita ikuti serta contohi sikap Rasulullah s.a.w sewaktu bersama isteri serta keluarga baginda. Antara amalan sunah yang dapat kita contohi adalah:

1)   Mengajak isteri berjalan bersama-sama anak.
Aisyah, isteri kesayangan baginda s.a.w ada menceritakan: “Aku biasa diajak berjalan-jalan oleh Rasulullah s.a.w . Kami berlumba lari bersama dan aku dapat mengalahkan Baginda ketika berlumba lari itu. Pada kesempatan yang lain, ketika kami berjalan berdua, baginda mengajakku berlumba lari, tetapi kali ini aku kalah berlumba lari dengannya. Baginda lalu berkata kepadaku sambil tersenyum simpul, ini untuk menebus kekalahanku yang terdahulu.”
( Hadis riwayat Abu Daud)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa gurau senda mampu menyuburkan kasih sayang yang berpanjangan.

      2)     Membawa isteri dan anak keluar makan di luar rumah.
Anas bin Malik menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w mempunyai jiran, seorang berbangsa parsi yang pandai memasak gulai. Pada suatu hari, dia secara khusus membuatkan masakan gulai yang enak untuk Rasulullah s.a.w. Lalu dia menemui Rasulullah s.a.w  untuk mengundang baginda makan bersama. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya. “Bagaimana dengan ini (maksudnya, apakah isteri Baginda, Aisyah turut diundang?)”
Jiran baginda s.a.w itu menjawab  : “Tidak. Aku hanya mengundang dirimu.” Lantas baginda bersabda : “Kalu begitu, aku tidak akan datang.” Jiran tadi datang kembali menemui Rasulullah s.a.w untuk mengundang baginda, tetapi baginda tetap mengulang pertanyaan yang sama. Jawapan yang sama juga disebut oleh jiran baginda itu.
Kemudian, jiran terbabit datang lagi buat kali ketiga dan Baginda s.a.w ,masih mengulangi pertanyaan yang serupa, iaitu apakah isteri baginda, Aisyah juga diundang sama? Kali ini barulah jiran itu berkata, “Ya, diundang juga.” Akhirnya selepas mendengar penjelasan jiran itu, Baginda s.a.w pun berangkat         bersama-sama ke rumah jirannya untuk makan bersama.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w amat mengasihi serta bijak mengambil hati isteri baginda.

     3)     Menzahirkan kasih menerusi pemberian hadiah kepada isteri.
Ummu Khaltum binti Abi Salamah ada memberitahu satu hadis (maksudnya) : “Ketika Rasulullah s.a.w berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda ada berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku pernah berhajat mahu menghadiahkan kepada Raja Najasyi sepasang pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi. Namun, aku mengetahui ternyata Raja Najasyi sudah meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan, aku akan memberinya kepadamu.”
Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan hadiah itu dikembalikan. Lalu baginda memberikan kepada setiap isterinya satu botol minyak kasturi, sedang bakinya dan pakaian berenda diberikan kepada Ummu Salamah.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Semoga Allah menjodohkan kita dengan insan yang berperibadi mulia serta dapat memimpin kita        bersama-sama menuju keredhaan Allah. InsyaAllah <3