Assalamualaikum,
Bersempena dengan Maulidur Rasul, beberapa program telah dianjurkan oleh KUIM bagi mengingati dan menyanjungi baginda Rasulullah s.a.w. Jadi Umy ingin kongsikan beberapa kisah mengenai Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang Umy perolehi sepanjang program ini.
1) Peristiwa Hijrah-Rasulullah s.a.w. tidur di riba Saidina Abu Bakar
Ketika peristiwa Hijrah, Saidina Abu Bakar menemani Rasulullah s.a.w. dan setelah lama berjalan, mereka berehat di dalam sebuah gua. Rasulullah s.a.w. tidur di atas riba Saidina Abu Bakar dan pada ketika itu kaki Saidina Abu Bakar dipatuk/disengat oleh binatang berbisa. Saidina Abu Bakar menahan sakit supaya Rasulullah s.a.w tidak terjaga sehingga menitik air matanya ke pipi Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tersedar lalu bertanya mengapa Saidina Abu Bakar menangis lalu Saidina Abu Bakar memberitahu perihal sebenar kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berdoa dan meludah ditempat Saidina Abu Bakar dipatuk/disengat dan dengan izin Allah ia sembuh.
# Disini kita dapat lihat betapa kasih dan sayangnya Saidina Abu Bakar terhadap Rasulullah s.a.w sehingga sanggup menahan kesakitan yang amat sangat, sedangkan kita pada hari ini disengat semut pun sudah mengaduh kesakitan seperti dipatuk ular berbisa.. Sesungguhnya, sejauh mana kasih kita kepada Rasulullah s.a.w ?
2) Peristiwa Yahudi Buta
Semasa Zaman Rasulullah s.a.w terdapat seorang yahudi buta yang selalu memburuk-burukkan Rasulullah s.a.w. Baginda setiap hari memerhatikan sahaja kelakuan yahudi buta itu tanpa memarahi atau melakukan apa-apa terhadapnya. Sehinggalah pada suatu hari, baginda tidak menemui yahudi buta itu seperti biasanya, lalu baginda bertanya kepada orang disekeliling kawasan itu dan berjaya mengetahui rumah yahudi buta itu. Apabila tiba dirumah yahudi buta tersebut, baginda mendapati bahawa dia sedang sakit dan masih belum makan. Rasulullah s.a.w memasak sendiri makanan dan menyuapkan ke mulut yahudi buta tersebut walaupun yahudi buta itu telah banyak mengatakan perkara buruk mengenai baginda.
# Dari sini kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w yang pemaaf, tidak berdendam, penyayang dan pelbagai lagi. Walaupun baginda dicaci tetapi baginda tidak membalas dengan cacian bahkan baginda balas dengan suatu kebaikan, berbeza dengan kita pada hari ini yang berpegang kepada buat jahat dibalas jahat.
3) Saidina Abu Bakar dan Yahudi Buta
Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar bertanya kepada Saidatina Aishah mengenai sunah Rasulullah s.a.w yang manakah yang dia masih belum lakukan. Lalu Saidatina Aishah mengatakan bahawa, rutin Rasulullah s.a.w ialah memberi makan kepada seorang yahudi buta. Saidina Abu Bakar pun mencari yahudi buta yang selalu Rasulullah s.a.w memberinya makan dan ketika melalui seorang yahudi buta, Saidina Abu Bakar berkata tidak mungkin dia ini kerana dia seringkali mencaci serta memburukkan baginda lalu dia pergi mencari yahudi buta yang lain. Namun, tiada yahudi buta lain yang ditemuinya kecuali yahudi buta yang mencaci Rasulullah s.a.w tersebut.
Saidina Abu Bakar pun memberinya makanan dan yahudi itu berkata ini bukan oang yang sama yang selalu memberiku makanan dan Saidina Abu Bakar tetap mengatakan bahawa dialah orangnya. Yahudi buta itu berkeras mengatakan bukan Saidina Abu Bakar yang selalu memberinya makanan kerana orang yang selalu memberinya makanan akan menyuap sendiri makanan itu ke mulutnya bagaikan seorang ibu menyuap anaknya, dan jika terlalu keras, dia akan kemamkan makanan itu untukku.
Lalu Saidina Abu Bakar menangis dan mengatakan bahawa orang yang selalu menyuapkan dia telah wafat, dan dialah Muhammad yang selalu engkau caci. Yahudi buta itu sedar akan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w dan memeluk Islam.
# Ingatlah bahawa, kadangkala orang yang paling kita benci itu akan menjadi orang yang paling rapat dan yang paling kita sayang. Jauhi sifat bermusuh-musuhan, dengki-mendengki kerana sesungguhnya kita semua bersaudara..
Alhamdulillah, inilah serba sedikit yang Umy dapat kongsikan bersama. InsyaAllah, jika ada apa-apa kekurangan atau kesilapan diharap ada yang sudi menegur supaya sama-sama kita dapat perbaiki diri menjadi insan lebih baik :)
No comments:
Post a Comment