Apabila disebut mengenai hutang, sudah pasti ia akan
mengingatkan kita kepada hutang kita kepada sesama manusia. Sudah pasti kita
akan berasa resah dan gelisah apabila tidak mampu membayar hutang kita kepada
seseorang itu dan lantas kita akan berusaha sedaya upaya bagi melangsaikan
hutang yang dipinjam. Namun pernahkah kita terfikir bahawa kita pernah berhutang
kepada Allah S.W.T? Apakah hutang kita kepada Allah? Wang, atau harta bendakah?
Sudah tentu tidak sama sekali. Hutang kita kepada Allah adalah solat wajib 5 waktu
yang telah kita tinggalkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Bagi hamba yang mukallaf yang telah mencukupi syarat-syarat
iaitu Islam, berakal dan baligh. Telah wajib baginya untuk menunaikan atau
melaksanakan perintah Allah S.W.T. Ini merupakan tanggungjawab dan juga
merupakan fardhu ain (tuntutan kewajipan bagi setiap mukallaf) baginya. Mungkin
ada diantara kita semasa di awal balighnya masih belum sedar akan
tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Lantas ada diantara solat-solatnya
tidak dijaga dengan tertib. Oleh itu, setelah meningkat dewasa ini kita akan
mulai sedar akan tanggungjawab kita kepada segala apa yang telah diperintahkan
oleh Allah S.W.T.
Apabila kita telah sedar akan hal ini, marilah sama-sama kita
membayar kembali hutang-hutang kita kepada Allah S.W.T ini dengan menqada’kan
segala solat yang telah kita tinggalkan. Mungkin mustahil bagi kita untuk
mengira jumlah sebenar solat yang telah kita tinggalkan. Oleh itu cukuplah
sekadar kita menganggarkannya sahaja. Sebagai contoh, jika mencapai baligh
ketika berumur 12 tahun dan pada ketika itu masih banyak solat yang kita
tinggalkan sehinggalah umur kita mencecah 16 tahun barulah kita bertaubat serta
sedar akan betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga solat 5 waktu.
Jika dikira kembali, kita perlu beristiqamah menqada’kan
solat selama 4 tahun lamanya. Mungkin kita akan berasa tempohnya terlalu lama,
namun bersyukurlah kerana Allah masih memberi kita peluang untuk bertaubat dan
melangsaikan hutang kita. Anda boleh menqada’kan solat setiap kali selepas
solat fardhu atau boleh menqada’kan solat pada bila-bila masa sahaja kerana
erti qada’ adalah menunaikan sesuatu ibadah bukan di dalam waktunya. Pastikan
anda mempunyai buku catatan atau jadual bagi memastikan anda istiqamah
melangsaikan hutang ini.
Sebagai contoh :
Check list Qada’ solat *4 tahun
Tarikh
|
Subuh
|
zuhur
|
asar
|
maghrib
|
isyak
|
2/8/2013
|
⁄
|
⁄
|
⁄
|
x
|
/
|
3/8/2013
|
/
|
x
|
/
|
/
|
/
|
Jika terdapat qada’ yang kita tidak dapat tunaikan, pastikan
kita menandakan x supaya ianya dapat diqada’kan kemudian. Semoga sama-sama kita
akan dapat melangsaikan hutang kita ini kepada Allah S.W.T. Namun harus diingat
selain solat, puasa, zakat dan sebagainya juga perlu dijaga dengan penuh rasa
tanggungjawab.
Saya sering teringat akan kata-kata ini :
Kita masuk syurga bukanlah kerana banyaknya amal ibadah yang
kita lakukan, tetapi semuanya adalah kerana diatas Keredhaan Allah S.W.T
Oleh itu, ikhlaskanlah hati dalam beribadah semata-mata
kerana Allah S.W.T dan bukannya kerana manusia, semoga Allah memelihara hati kita
daripada penyakit-penyakit hati iaitu riak, ujub, takbur dan sebagainya dan
ingatlah :
Sesungguhnya tiada penghalang bagi kita untuk kembali kepada
Allah.
# Mudah-mudahan segala apa yang kita lakukan akan mendapat
Redha Allah. Diharap sebarang kesalahan atau percanggahan akan dapat ditegur
dengan penuh hikmah, Syukran J