Sunday 7 July 2013

Romantiknya Rasulullah s.a.w

Setiap insan pasti mendambakan pasangan yang beriman serta bertakwa yang akan membawanya ke Jannah. Namun, tidak lupa juga bahawa setiap insan terutamanya wanita pasti juga menginginkan pasangan yang romantik dan pandai bergurau senda, kerana ianya akan memutikkan kemesraan dan menyegarkan lagi rasa cinta di hati pasangan suami dan isteri. Cinta yang halal di sisi Allah ini, perlu dipayungi dengan kasih sayang yang ikhlas semata-mata kerana Allah bagi mewujudkan keluarga bahagia yang berada dibawah limpahan rahmat kasih sayangNya, ‘mawaddah wa rahmah’.

Sepertimana yang kita ketahui, Rasulullah s.a.w merupakan seorang suami yang adil serta amat kasihkan isteri-isteri baginda. Mari kita ikuti serta contohi sikap Rasulullah s.a.w sewaktu bersama isteri serta keluarga baginda. Antara amalan sunah yang dapat kita contohi adalah:

1)   Mengajak isteri berjalan bersama-sama anak.
Aisyah, isteri kesayangan baginda s.a.w ada menceritakan: “Aku biasa diajak berjalan-jalan oleh Rasulullah s.a.w . Kami berlumba lari bersama dan aku dapat mengalahkan Baginda ketika berlumba lari itu. Pada kesempatan yang lain, ketika kami berjalan berdua, baginda mengajakku berlumba lari, tetapi kali ini aku kalah berlumba lari dengannya. Baginda lalu berkata kepadaku sambil tersenyum simpul, ini untuk menebus kekalahanku yang terdahulu.”
( Hadis riwayat Abu Daud)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa gurau senda mampu menyuburkan kasih sayang yang berpanjangan.

      2)     Membawa isteri dan anak keluar makan di luar rumah.
Anas bin Malik menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w mempunyai jiran, seorang berbangsa parsi yang pandai memasak gulai. Pada suatu hari, dia secara khusus membuatkan masakan gulai yang enak untuk Rasulullah s.a.w. Lalu dia menemui Rasulullah s.a.w  untuk mengundang baginda makan bersama. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya. “Bagaimana dengan ini (maksudnya, apakah isteri Baginda, Aisyah turut diundang?)”
Jiran baginda s.a.w itu menjawab  : “Tidak. Aku hanya mengundang dirimu.” Lantas baginda bersabda : “Kalu begitu, aku tidak akan datang.” Jiran tadi datang kembali menemui Rasulullah s.a.w untuk mengundang baginda, tetapi baginda tetap mengulang pertanyaan yang sama. Jawapan yang sama juga disebut oleh jiran baginda itu.
Kemudian, jiran terbabit datang lagi buat kali ketiga dan Baginda s.a.w ,masih mengulangi pertanyaan yang serupa, iaitu apakah isteri baginda, Aisyah juga diundang sama? Kali ini barulah jiran itu berkata, “Ya, diundang juga.” Akhirnya selepas mendengar penjelasan jiran itu, Baginda s.a.w pun berangkat         bersama-sama ke rumah jirannya untuk makan bersama.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w amat mengasihi serta bijak mengambil hati isteri baginda.

     3)     Menzahirkan kasih menerusi pemberian hadiah kepada isteri.
Ummu Khaltum binti Abi Salamah ada memberitahu satu hadis (maksudnya) : “Ketika Rasulullah s.a.w berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda ada berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku pernah berhajat mahu menghadiahkan kepada Raja Najasyi sepasang pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi. Namun, aku mengetahui ternyata Raja Najasyi sudah meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan, aku akan memberinya kepadamu.”
Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan hadiah itu dikembalikan. Lalu baginda memberikan kepada setiap isterinya satu botol minyak kasturi, sedang bakinya dan pakaian berenda diberikan kepada Ummu Salamah.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Semoga Allah menjodohkan kita dengan insan yang berperibadi mulia serta dapat memimpin kita        bersama-sama menuju keredhaan Allah. InsyaAllah <3 

No comments:

Post a Comment